PULAU Redang adalah destinasi pelancongan marin popular dengan pantai yang indah, air jernih dan ekosistem dasar laut menarik.
Keunikan itu mendapat perhatian pengunjung tempatan dan luar negara yang inginkan ketenangan dan sukakan dunia pengembaraan.
Bagi menggalakkan limpahan ekonomi industri pelancongan yang ada di Pulau Redang kepada komuniti setempat khususnya penduduk Kampung Baru, Pulau Redang, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melaksanakan program pembangunan dan pemerkasaan produk pelancongan membabitkan komuniti pulau itu bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat. Penganjuran bengkel pemindahan ilmu melalui skim dana ‘Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme’ (KTAGS) di bawah tadbir urus Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri Masyarakat (PPIJIM) UMT, program itu berjaya menerapkan ilmu berkaitan pemasaran produk pelancongan serta pendedahan berkaitan platform digital kepada 34 peserta pelbagai latar belakang perniagaan dan agensi.
Pengusaha rumah penginapan yang juga peserta program, Irawan Jusoh berpendapat program itu pendekatan yang positif dan dapat memberikan idea baharu bagi penawaran produk pelancongan berasaskan tarikan sedia ada di kawasan Kampung Baru Pulau Redang. “Program ini juga dapat memperkasakan belia di Kampung Baru dengan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan sebagai jurupandu tempatan serta perniagaan bersaiz mikro khususnya produk makanan tempatan dan kraftangan,” katanya.
Program diadakan pada Februari lalu di di Kampung Baru, Pulau Redang membabitkan sekumpulan tujuh penyelidik yang juga merupakan pensyarah dari Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS).
Ketua program, Shahriman Abdul Hamid memberitahu kepulauan itu memiliki nilai kemasyarakatannya yang tersendiri dan unik.
“Tidak ramai tahu terdapat sebuah kawasan perkampungan di Pulau Redang yang memiliki komuniti sangat tinggi nilai kemasyarakatannya.
“Kampung Baru ini memiliki kepelbagaian produk yang unik dan berpotensi besar untuk dipasarkan dan diperkenalkan kepada pelancong.
“Modul bagi bengkel ini merangkumi tiga topik utama iaitu pembangunan produk pelancongan baharu dan potensi aktiviti di Kampung Baru, strategi pemasaran produk pelancongan, dan pendigitalan produk pelancongan.
“Hasil penyelidikan dikongsikan antaranya adalah beberapa produk pelancongan baharu yang dikenal pasti seperti pakej lawatan berpandu, aktiviti berbasikal sekitar kawasan kampung, aktiviti mendaki bukit serta eksplorasi paya bakau,” katanya.
Program ini dapat memberikan impak yang signifikan terhadap peningkatan ekonomi dan pemerkasaan komuniti setempat. Pengenalpastian beberapa tarikan sedia ada yang berpotensi dijadikan produk pelancongan di Kampung Baru, Pulau Redang dapat merancakkan lagi aktiviti perusahaan pelancongan dalam kalangan komuniti pengusaha produk pelancongan seiring dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 di bawah strategi transformasi pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi (SDG8), Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG9) dan Bandar dan Masyarakat Mampan (SDG 11).
Selain itu, ia sebagai langkah pemuliharaan budaya dan warisan setempat.