Pada 26 hingga 27 September yang lepas, Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PIJI) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah mengadakan satu bengkel pemindahan ilmu berkenaan keusahawanan digital yang bertempat di makmal komputer Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim (PPPPM) UMT. Bengkel ini dihadiri oleh lebih daripada 30 orang peserta dan berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 5 petang selama 2 hari. Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan latihan kepada peserta yang juga sebahagian dari responden yang terlibat di dalam Profiling Keusahawanan Digital bagi komuniti Telaga Papan dan sekitar daerah Setiu yang telah berlangsung dari April hingga Julai 2018 yang lalu. Projek profiling Keusahawanan Digital bagi komuniti di daerah Setiu ini mendapat dana dalaman UMT melalui geran “Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS).

Melalui bengkel ini, peserta yang juga usahawan dari pelbagai bidang diberi pendedahan tentang peluang dan cabaran dalam keusahawanan digital yang telah disampaikan oleh Dr. Noorhaslinda bt Kulub Abd Rashid dan Dr. Roseliza binti Mat Alipiah dari Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi (PPPSE) UMT untuk slot pertama. Slot kedua pula disampaikan oleh Dr. Zaleha binti Mohamad (PIJI) merangkap ketua projek Profiling Keusahawanan Digital bagi komuniti di daerah Setiu, yang bertajuk “Rancangan Perniagaan”. Seterusnya Dr. Shayuti binti Mohamed Adnan dan Prof. Madya Dr. Marhana binti Mohamed Anuar dari PPPPM yang membentangkan tajuk kepakaran mereka iaitu “Cukai di dalam Perniagaan” dan “Strategi Promosi Dalam Perniagaan”. Slot terakhir di sebelah pagi adalah daripada wakil industri, iaitu dari TOP IT Sdn. Bhd yang membentangkan mengenai laman jualan Portal Payang.my yang mana merupakan laman jualan online yang menjual barangan yang dihasilkan dari usahawan di negeri Terengganu. Slot di sebelah petang untuk hari pertama disampaikan oleh seorang lagi wakil industri iaitu Alif Rafie Resources Enterprise yang memfokuskan bagaimana untuk berniaga di dalam portal “Shoppe.com” dan mendedahkan kepada peserta tentang kepentingan mempunyai laman web sendiri untuk jualan secara digital.

Pada hari kedua dipenuhi dengan slot dari MDEC melalui jurulatih bertauliah dari agensi tersebut, Mohd Zulhazri bin Azmi atau lebih dikenali sebagai “Coach Zul” dari IQP Solution Master Coach. Antara pengisian dari adalah reka bentuk web seperti poster dan lain – lain melalui laman web “Canva.com” serta membuat laman perniagaan di dalam Facebook dan bagaimana untuk membuat iklan didalam laman tersebut. Menurut Coach Zul, menerusi bengkel itu, pihak MDEC dapat memberi pendedahan kepada peserta supaya lebih ramai menyokong program pembangunan usahawan digital oleh MDEC.
“Kita membantu usahawan yang bekerja untuk menjana pendapatan secara lebih tinggi, contohnya memberi pendedahan kepada mereka bagaimana untuk membuat pengiklanan supaya mereka dapat menjana pendapatan lebih tinggi berbanding sebelumnya,” katanya.

Secara umumnya, para peserta amat berpuas hati dengan penganjuran program sebegini yang diadakan secara percuma dan komprehensif, merangkumi teori dan praktikal di dalam aspek keusahawanan digital. Program bersama komuniti telah berjaya meningkatkan minat di kalangan komuniti Setiu terhadap perniagaan secara digital. Peranan PIJI sebagai pusat sehentu komuniti amat penting dalam melahirkan komuniti yang berdaya saing dan celik IT dalam menangani cabaran masa depan.

PIJI anjur Bengkel Pemindahan Ilmu : Keusahawanan Digital