Pihak Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PIJI) telah menerima lawatan rasmi dari Pusat Kolaborasi Universiti – Industri (CIUC) Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula dari 25 hingga 26 Oktober yang lalu. Lawatan ini adalah bertujuan untuk pihak CIUC UUM menimba pengalaman dan bertukar pendapat bersama pihak PIJI UMT berkenaan program-program kolaborasi antara universiti bersama komuniti setempat dan bagaimana pihak PIJI menjalankan projek-projek pemindahan ilmu oleh pakar-pakar di universiti kepada ahli-ahli komuniti yang berkenaan. Lawatan ini diketuai oleh Pengarah CIUC UUM iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don dan disertai oleh 4 orang pegawai dari CIUC UUM.

Pada hari pertama program, delegasi dari UUM tersebut telah mengadakan perbincangan bersama pihak PIJI UMT dalam menjayakan program-program libatsama komuniti dan industri yang telah dan akan dibangunkan oleh kedua-dua universiti. Perbincangan ini juga telah disertai bersama oleh wakil dari Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang turut sama bertukar pandangan berkenaan program-program libatsama komuniti ini. Hasil dari perbincangan ini akan dapat membantu ketiga-tiga pihak dalam mempertingkatkan keberkesanan dalam menjayakan program-program dan projek pemindahan ilmu atau kerjasama industri serta masyarakat.
Dalam program lawatan rasmi CIUC UUM ini juga, delegasi dari CIUC juga telah dibawa melawat fasiliti-fasiliti penyelidikan dan pembelajaran UMT. Antara fasiliti-fasiliti yang dilawati oleh delegasi tersebut adalah di Galri Penyelidikan INOS, Hatcheri AKUATROP dan Makmal Simulasi Kapal di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK). Hasil daripada lawatan ke fasiliti-fasiliti ini akan dapat membantu pihak CIUC UUM dalam merancang program-program yang melibatkan industri dan komuniti di universiti mereka nanti.

Pada hari kedua pula, PIJI telah membawa pihak CIUC UUM melawat tapak-tapak projek pemindahan ilmu yang melibatkan libatsama komuniti yang telah dijalankan oleh PIJI dan kerjasama dengan komuniti-industri terbabit. Tapak projek pertama adalah di pejabat dan tapak pertanian GM Peladang Sdn Bhd di Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Delegasi dari UMT dan UUM telah disambut oleh Pengerusi syarikat GM Peladang Sdn Bhd sendiri iaitu Tuan Haji Ghazali Muda dan telah membuat penerangan berkenaan projek-projek dan kerjasama yang telah dijalankan oleh pihak GM Peladang bersama UMT. Seterusnya, delegasi telah dibawa ke Setiu Boardwalk di Kuala Setiu untuk meninjau hasil penyelidikan dan program komuniti yang telah dijalankan oleh UMT. Seterusnya, delegasi UUM juga telah dibawa ke sebuah kilang pemprosesan pizza yang sebelum ini telah mendapat bantuan hasil dari penyelidikan yang dijalankan oleh pihak UMT iaitu di Koperasi Bukit Guntong Kuala Terengganu Berhad yang telah menjalankan “Projek Penghasilan Pizza Berkalsium Menggunakan Tepung Hidrosiapatit Daripada Sisa Tulang Ikan” bersama UMT.

Diharapkan lawatan rasmi dari delegasi UUM ini memberikan impak dan manfaat yang maksimum kepada komuniti yang akan terlibat nanti.

CIUC UUM timba pengalaman dari PIJI UMT